
Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
KUALA LUMPUR: Seramai 259,656 orang guru dilatih dalam aspek penyediaan soalan dan pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, latihan itu adalah bagi meningkatkan profesionalisme dan kemahiran guru dalam aspek pedagogi serta pentaksiran pendidikan.
Beliau turut menjelaskan, mulai sesi akademik 2024/2025, Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan autonomi penuh kepada sekolah dan guru dalam pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik.
“Autonomi ini merangkumi aspek penyediaan soalan ujian, pentadbiran dan pengoperasian ujian, pemeriksaan serta pelaporan”
“Kementerian juga menyediakan format pentaksiran serta Modul Perealisasian Item bagi membantu guru dalam penyediaan soalan serta panduan penskoran”
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Putrajaya, Dr. Radzi Jidin yang meminta Kementerian Pendidikan menyatakan status penyediaan bank soalan berpusat yang setara standardnya oleh KPM untuk membantu guru-guru dalam melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) termasuk menyediakan soalan bagi Ujian Akhir Sesi Akademik.
Mengulas lanjut, Kah Woh memaklumkkan, bagi memastikan soalan yang dibangunkan selari dengan kandungan kurikulum yang ditetapkan, KPM turut menyediakan Jadual Spesifikasi Ujian Piawai sebagai rujukan utama guru.
KPM juga memberikan autonomi kepada sekolah dan guru dalam pentadbiran ujian itu dimana setiap sekolah mempunyai keunikan tersendiri dalam memenuhi keperluan murid dan menyediakan pentaksiran yang lebih bersesuaian dengan konteks pembelajaran mereka.
“Ujian akhir sesi akademik bukan bertujuan untuk membuat perbandingan prestasi antara murid, sekolah, daerah atau negeri, tetapi lebih kepada membantu murid membangun serta memperkembangkan potensi diri mereka, sebagai persediaan untuk fasa pembelajaran yang seterusnya”
Beliau turut memaklumkan, guru juga dapat merancang dan melaksanakan intervensi yang bersesuaian untuk membantu murid mencapai tahap penguasaan yang lebih baik dalam pembelajaran mereka.
Dalam masa yang sama, bagi memastikan penjaminan kualiti yang berterusan, KPM melaksanakan kunjung bantu ke sekolah-sekolah bagi memberi bimbingan dan sokongan kepada guru dalam mengendalikan ujian akhir sesi akademik.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.