![](https://media.buletintv3.my/2024/03/cGeRPhwB-BULETIN-TV3-A-15.jpg)
Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah mengenakan penalti kewangan sebanyak RM571.5 juta ke atas 259 syarikat yang didapati terlibat dalam aktiviti antipersaingan, termasuk kartel dan penyalahgunaan kedudukan monopoli, sejak penguatkuasaan Akta Persaingan 2010 (Akta 712) bermula pada 1 Januari 2012.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan melalui MyCC memantau dan mengekang amalan antipersaingan dalam ekonomi dan pasaran negara dengan penguatkuasaan Akta Persaingan 2010 (Akta 712) bermula 1 Januari 2012.
Katanya, MyCC telah menjalankan penyiasatan terhadap 339 syarikat dalam pelbagai industri, termasuk pengangkutan, pengilangan, makanan, perkhidmatan, pendidikan, insurans, pertanian, dan perolehan awam.
“Hasil daripada penyiasatan ini, MyCC telah mengeluarkan keputusan dapatan pelanggaran di bawah Seksyen 40 Akta tersebut yang melibatkan 14 kes meliputi 259 perusahaan.
“Sebanyak 257 perusahaan didapati terlibat dalam aktiviti kartel dan 2 perusahaan didapati menyalahgunakan kedudukan monopoli,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen di Dewan Rakyat hari ini.
Armizan menegaskan bahawa kes terbesar yang disiasat oleh MyCC melibatkan pakatan kartel oleh lima pengeluar makanan ayam, yang melibatkan penalti kewangan sebanyak RM415.5 juta.
“Bermula tahun 2024, MyCC telah menggerakkan strategi khusus untuk meningkatkan penguatkuasaan terhadap salah satu cabang aktiviti kartel sejak sekian lama iaitu pakatan tipuan bida (bid rigging).
“MyCC sedang aktif menyiasat 13 kes menyentuh dakwaan kartel tipuan bida yang melibatkan 561 perusahaan dengan tender-tender yang mencecah nilai RM2.3 billion,” katanya.
Beliau menekankan bahawa tindakan tegas terhadap aktiviti tipuan bida adalah penting bagi memastikan tadbir urus perolehan awam yang telus dan adil, selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Selain itu, kerajaan juga komited untuk mewujudkan ekosistem persaingan yang sihat dalam pasaran bagi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan memastikan harga barangan serta perkhidmatan yang kompetitif kepada pengguna.
“Tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan ke atas syarikat yang melaksanakan amalan antipersaingan mencerminkan komitmen Kerajaan untuk mewujudkan ekosistem persaingan yang sihat dalam pasaran.
“Ini sekali gus akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan meningkatkan kualiti, mewujudkan pilihan dan harga barangan yang munasabah serta perkhidmatan yang kompetitif demi kepentingn pennguna,” jelas beliau.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.