Tumpuan :
Nasional

2,574 pelajar mulakan pengajian sulung di SRBJ

Sebahagian pelajar di Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) yang memulakan sesi persekolahan hari ini.

Oleh: Zahir Senapiah

PASIR GUDANG: 2,574 pelajar mendaftar di empat buah Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) yang mula beroperasi pada sesi persekolahan 2025/2026 pagi tadi.

Fasa pertama SRBJ membabitkan dua sekolah menengah, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Puteri 2 dan SMK Tasek Utara, manakala dua sekolah rendah adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Puteri 4 dan SK Tasek Utara.

Tinjauan di SK Kota Puteri 4 pagi tadi mendapati, pelajar dan ibu bapa teruja kerana anak mereka diterima belajar di sekolah perintis berkenaan.

Kehadiran ibu bapa dan pelajar disambut mesra oleh tenaga pengajar yang terdiri daripada
212 guru di empat sekolah SRBJ berkenaan.

Menurut EXCO Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin, satu sesi libat urus bersama ibu bapa akan diadakan pada hari Khamis dan Jumaat ini bagi memberi pengenalan kepada projek rintis berkenaan.

“Fasa pertama untuk pembelajaran akan terus dikekalkan kerana kita tidak mengganggu silibus pendidikan kementerian. Kita cuma akan menambah baik beberapa perkara dan kaedah.

“Sesi libat urus bersama guru dan ibu bapa ini penting supaya mereka memahami hasrat dan niat kerajaan negeri Johor untuk menjadikan sekolah rintis ini lebih baik. Sesi ini akan dimulakan dalam minggu kedua ini,” katanya.

Kerajaan negeri tegasnya, akan membuat penilaian terhadap empat SRBJ berkenaan dalam tempoh enam bulan hingga setahun bagi melihat keberkesanannya.

Susulan itu, kumpulan kedua membabitkan 90 guru SRBJ akan dihantar ke institut pendidikan di Singapura untuk mengikuti latihan serta bengkel bagi menjayakan projek rintis berkenaan.

“Sekolah SRBJ akan memberi penekanan terhadap penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) serta bahasa Inggeris. Semua sekolah itu dipilih berdasarkan pentadbiran yang proaktif, potensi pencapaian yang sederhana untuk ditambah baik dan hubungan antara sekolah rendah dengan sekolah menengah yang berfungsi sebagai ‘feeder school’,” tambahnya.

Selain itu ujarnya, pelaksanaan SRBJ tidak mengganggu dasar pendidikan negara, sebaliknya ia menjadi nilai tambah kepada silibus sedia ada dengan harapan dapat diperluaskan ke peringkat nasional sekiranya berkesan.

Dalam pada itu, sebahagian besar ibu bapa melahirkan rasa teruja menghantar anak masing-masing, termasuk mengikuti pembelajaran di SRBJ.

Bagi mereka, pengenalan sekolah itu diharap dapat memberi sinar baharu kepada anak mereka dalam menjulang kejayaan dan bangsa Johor.

“Saya amat berharap sekolah ini dapat memberikan pendidikan terbaik kepada anak saya. Sebagai ibu bapa, kami amat teruja kerana ini adalah sekolah rintis Bangsa Johor pertama. Anak saya pun sangat gembira, bangun pagi pun seronok,” kata Nur Nazira Mihd Radhi.

Perkara sama turut dikongsi oleh Julaila Atan, yang mengharapkan sesuatu yang lebih baik untuk anaknya selepas mendaftar di sekolah SRBJ.

“Saya harap sekolah Rintis Bangsa Johor di SK Kota Puteri 4 ini akan lebih baik, anak muridnya lebih cemerlang, dan lebih membanggakan untuk semua ibu bapa,” katanya kepada Buletin TV3.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini