comscore
Tumpuan :
Nasional

2,572 kematian direkodkan akibat tibi pada 2022

FOTO: Fail AP

Oleh Zainur Khairul Zainurin

KUALA LUMPUR: Jumlah kematian akibat penyakit Tibi atau batuk kering direkodkan di negara ini mencatatkan peningkatan sebanyak 2,572 kematian pada tahun lalu berbanding 2,288 kematian pada tahun 2021.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan terdapat 10.6 juta kes tibi di seluruh dunia dan Malaysia mencatat peningkatan jumlah kes tahun lalu dengan 25,391 kes berbanding 21,727 kes pada tahun 2021.

Sehubungan itu, usaha bagi meningkatkan kadar pengesanan kes melalui saringan awal penyakit tibi perlu ditingkatkan selain individu yang mempunyai risiko tinggi dijangkiti penyakit tibi seperti kontak kepada kes tibi, pesakit HIV, penyakit buah pinggang kronik, penyakit pulmori kronik (jenis obstruktif) dan perokok aktif dinasihatkan melakukan saringan penyakit tibi.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata sambutan Hari Tibi Sedunia 2023 bertemakan “Yes! We Can End TB!” memberi inspirasi dan harapan kepada negara dalam usaha dan strategi menamatkan epidemik tibi menjelangtahun 2035 melalui pembabitan kepimpinan peringkat tinggi bagi meningkatkan pelaburan dan bersama menggembeling seluruh usaha, tenaga dan inovasi.

“Bagi mengurangkan komplikasi kematian, individu yang mempunyai tanda dan gejala penyakit tibi seperti batuk yang berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh pada waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah diminta menjalani pemeriksaan awal dan rawatan di klinik dan hospital berhampiran.

“Rawatan bagi penyakit tibi paru-paru adalah kombinasi ubatan antibiotik anti-tibi yang perlu diambil setiap hari selama enam bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pesakit yang berhenti mengambil rawatan atau enggan meneruskan rawatan boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Penyakit tibi adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh Mycobacterium tuberculosis dan merebak melalui udara. Majoriti jangkitan tibi membabitkan paru-paru (tibi pulmonari), namun organ lain juga boleh mendapat jangkitan seperti otak (TB meningitis), tulang (TB spine), kelenjar limfa (TB lymph node), usus (TB gut) dan lain-lain organ badan.

Dalam pada itu, Zaliha berkata Hari Tibi Sedunia disambut pada 24 Mac bagi memperingati sejarah penemuan bakteria Mycobacterium tuberculosis oleh Dr. Robert Koch pada tahun 1882.

Ia disambut bagi memberi kesedaran, komitmen serta sokongan terhadap usaha kawalan dan pencegahan yang dilakukan di seluruh negara.

Mengangkat tema “Yes! We Can End TB!”, KKM berharap usaha dan strategi menamatkan epidemik tibi menjelang tahun 2035 dapat dikecapi.

“Salah faham berkaitan penyakit tibi serta stigma terhadap pesakit dan keluarga perlu dihentikan.”

“Komitmen yang tinggi dari anggota kesihatan di samping kerjasama yang erat dari semua agensi kerajaan, swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) adalah amat diperlukan bagi mencapai hasrat Malaysia menamatkan tibi menjelang tahun 2035 menjadi kenyataan. Yes! Together we can End TB!,” kata Dr Zaliha.

Loading...
Terkini