Tumpuan :
Nasional

256 premis makanan kotor diarah tutup sementara

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Sebanyak 256 premis makanan seluruh negara diberi perintah penutupan sementara di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 berikutan tahap kebersihan tidak memuaskan sepanjang bulan lalu.

 

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, ia menerusi 7,677 premis yang diperiksa melalui tindakan penguatkuasaan Akta Makanan 1983.

“Tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan Kementerian Kesihatan (KKM) adalah sebagai suatu langkah menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini berhubung pencapaian tindakan penguatkuasaan dan perundangan di bawah undang-undang kesihatan awam bagi bulan Januari.

Seksyen 11 Akta Makanan 1983 memerintahkan penutupan serta merta tidak lebih 14 hari bagi mana-mana premis menyedia atau menjual makanan yang didapati tidak bersih hingga mungkin mendatangkan bahaya kepada kesihatan.

Sementara itu, menurut Dr Muhammad Radzi, sejumlah 2,917 tawaran kompaun bernilai RM1,458,500 dikeluarkan melalui tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 bagi tujuan pencegahan dan kawalan penyakit demam denggi.

Setiap kompaun ditawarkan dengan purata RM500.

Tambahnya, sejumlah 431 kes didaftar untuk tindakan mahkamah dengan 75 kes telah disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM143,350.

“Melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, daripada 25,257 premis yang dilawati, sejumlah 13,526 notis kesalahan dikeluarkan.

“Sebanyak 5,059 kompaun telah ditawarkan dengan nilai tawaran berjumlah RM1,262,500,” katanya.

Jelasnya, tindakan penguatkuasaan adalah pilihan terakhir yang diambil KKM.

Beliau turut memita orang ramai dan semua pihak untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing agar keberkesanan perlaksanaan aktiviti kesihatan
mencapai tahap optimum.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini