comscore
Tumpuan :
Nasional

2500 penduduk Orang Asli terputus hubungan akibat tanah runtuh

Kejadian tanah runtuh di laluan menuju ke tiga Pos Orang Asli menyebabkan lebih 2,500 penduduk terputus hubungan. – Foto ihsan penduduk

GUA MUSANG: Tiga Pos Orang Asli yang dihuni lebih  2,500 penduduk suku kaum Temiar di  di sini terputus hubungan apabila jalan masuk ke penempatan mereka berlaku tanah runtuh sejak tiga hari lalu.

Pos yang terbabit adalah Pos Balar dan Pos Bihai yang masing-masing mempunyai 1,000 penduduk manakala Pos Tuel 500 penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Balar, Hanan Anjang berkata kejadian tanah runtuh di Bukit Pasir pada Isnin lalu menyebabkan sekumpulan Orang Asli yang ingin pulang ke rumah terpaksa berjalan kaki.

“Kejadian berlaku pada awal pagi, menyebabkan penduduk yang ingin pulang terpaksa berjalan kaki untuk sampai ke rumah mereka dengan membawa bersama barangan untuk sambutan Hari Krismas.

“Semalam beberapa penduduk cuba untuk membersihkan jalan bagi membolehkan kenderaan pacuan empat roda yang terkandas melaluinya namun tidak berjaya kerana keadaan tanah yang basah,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Penduduk Kampung Tendrik, Pos Bihai, Apek Asud, 39, pula berkata mereka sudah dua hari tidak mendapat rangkaian internet kerana diesel yang menghidupkan pencawang internet sudah habis.

“Situasi ini menyebabkan kami tidak dapat berhubung sekiranya berlaku kecemasan atau ada penduduk yang perlukan rawatan segera,” katanya.

Penghulu Kampung Hanir, Pos Tuel, Razak Rongging, 41, pula berkata menasihatkan penduduk supaya tidak keluar kerana risiko kejadian berulang boleh berlaku.

“Antara kampung yang terbabit adalah Kampung Tuel dan Kampung Pelug dan kami kini tidak dapat keluar untuk membeli barangan keperluan dan lebih membimbangkan jika berlaku kecemasan atau ada penduduk yang sakit,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan dan Terengganu, Zarina Razlan, berkata pihaknya ada menerima aduan penduduk berlaku tanah runtuh sehingga menyebabkan mereka terputus hubungan.

“Buat masa ini kami nasihatkan mereka supaya sentiasa berada di kawasan perkampungan masing-masing, dibimbangi akan berlaku kejadian yang sama kerana keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya.

Loading...
Terkini