Tumpuan :
Nasional

2,500 asnaf terima agihan daging korban

Foto NSTP

KOTA BHARU: Seramai 2,500 asnaf di seluruh jajahan Kota Bharu, Kelantan menerima agihan daging korban.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, berkata pihaknya mengorbankan sebanyak 51 lembu dan tiga daripadanya adalah kurniaan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sempena Majlis Ibadat Qurban Jama’ie MAIK yang diadakan di Kompleks Jubli Perak Sultan Ismail Petra, hari ini.

Katanya, pengagihan daging korban berkenaan akan diagihkan menerusi masjid di seluruh jajahan Kota Bharu bermula petang ini.

Foto NSTP

“Setiap penerima akan mendapat dua kilogram (kg) daging serta tulang.“Program Ibadat Qurban Jama’ie adalah program tahunan yang dianjurkan oleh pihak MAIK bagi meraikan golongan asnaf dengan mengagihkan daging korban kepada mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini, hari ini.

Terdahulu, Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid turut berkenan menyaksikan penyembelihan tiga lembu korban.

Baginda berdua meluangkan masa kira-kira 40 minit bersama-sama hampir 500 penduduk pada majlis ibadah korban itu sebelum berangkat pulang, pada jam 9.40 pagi tadi.

Loading...
Terkini