BUTTERWORTH: Sebanyak 25 bas ekspres dan persiaran dikesan beroperasi dengan hanya seorang pemandu bagi perjalanan jarak jauh dalam operasi yang diadakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang di tiga plaza tol di negeri ini, semalam.
JPJ negeri dalam kenyataan, berkata dalam operasi itu pihaknya turut menyita sebuah bas ekspres kerana pemandu tiada lesen memandu.
Katanya, operasi bermula jam 10 malam dan berakhir 8 pagi itu membabitkan lokasi di Plaza Tol Juru, Plaza Tol Bukit Tambun dan Plaza Tol Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, memfokuskan kenderaan perkhidmatan awam dan kenderaan perkhidmatan barangan.
“Tujuan penguatkuasaan ini diadakan bagi memantau, mengesan dan mengambil tindakan ke atas pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan kaedah-kaedah di bawahnya serta Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD 2010).
“Kita mengeluarkan saman terhadap 25 bas persiaran dan ekspres kerana tiada pemandu kedua bagi pemanduan melebihi 300 kilometer atau lebih empat jam berterusan.
“Dalam pada itu, tindakan sitaan turut dilakukan terhadap sebuah bas ekspres kerana pemandunya tiada lesen memandu, selain menyita sebuah lori kontena disebabkan pemandunya di bawah umur,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, antara kesalahan lain dikesan dalam operasi hampir 10 jam itu adalah 23 bas didapati tiada buku log atau tidak kemas kini buku log pemandu dan satu kes tiada pemandu pelancong.
“Secara keseluruhan, sebanyak 273 saman atas pelbagai kesalahan dan kesalahan teknikal dikeluarkan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.