Tumpuan :
Nasional

25 lembu hilang, 10 penternak rugi RM100,000

Lembu yang ditemui mati di kawasan ladang di KESEDAR Jeram Tekoh, di Gua Musang. Foto NSTP/ihsan penternak lembu.

GUA MUSANG: Seramai 10 penternak lembu di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) Jeram Tekoh mengalami kerugian lebih RM100,000 apabila haiwan ternakan itu tiba-tiba hilang sejak empat hari lalu.

Tambah mereka, pada hari kejadian pada Jumaat lalu itu, tiga ekor lembu mereka turut dijumpai mati di ladang kelapa sawit di kawasan itu yang sudah menjadi tempat mereka melepaskan lembu-lembu itu untuk mencari makan.

Artikel berkaitan: Penternakan lembu, kambing didakwa punca pencemaran Sungai Lereh

Yakin kejadian itu akibat perbuatan khianat kerana diracun, mereka kemudian membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.

Menurut salah seorang penternak lembu terbabit, Raja Mohd Paris Raja Ismail, 34, ia adalah kejadian pertama sepanjang 13 tahun dia menternak lembu.

 

“Kami sudah mendapat kebenaran dari pihak KESEDAR untuk melepaskan lembu dalam ladang terbabit dan sebelum ini tidak pernah ada isu berbangkit,” katanya.

Menurut seorang lagi penternak, Zahari Jusoh, 60, dia kecewa dengan kejadian itu sehingga menyebabkan lembunya mati akibat perbuatan khianat terhadap haiwan.

Artikel berkaitan: Rugi berbelas ribu ringgit lembu ternakan diserang ‘Pak Belang’

“Saya berasa sedih melihat lembu yang mati akibat diracun walaupun ia hanyalah haiwan tetapi mereka juga makhluk yang bernyawa.

Kami ada berusaha mencari lembu yang hilang, namun sehingga kini masih tiada petunjuk. Saya harap lembu yang hilang tidak menerima nasib yang sama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian lembu yang mati itu.

Katanya, pihaknya merujuk kes itu kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana khianat ke atas binatang.

Loading...
Terkini