Tumpuan :
Nasional

25 keluarga terjejas, kediaman dilanda banjir akibat air pasang besar

Anggota APM Bandar Baharu melakukan pemantauan di rumah penduduk di Kampung Besar, Mukim Bagan Samak yang dinaiki air berikutan air pasang besar yang melanda awal pagi tadi. – FOTO: Ihsan APM

BANDAR BAHARU: Seramai 100 mangsa daripada 25 keluarga di Kampung Besar, Mukim Bagan Samak di sini terjejas selepas kediaman mereka dinaiki air berikutan air pasang besar yang melanda, awal pagi tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan banjir melalui orang awam berikutan fenomena air pasang besar jam 4.35 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari APM Bandar Baharu kemudian melakukan pemantauan awal banjir di kampung berkenaan dan mendapati 25 kediaman dimasuki air.

“Faktor kejadian banjir adalah disebabkan air pasang besar di sungai utama iaitu sungai Kerian yang berhampiran kawasan penduduk berkenaan.

“Bagaimanapun setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di kawasan itu berikutan trend air semakin menurun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Rahim berkata, pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa dan keadaan cuaca kini cerah.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko rendah supaya sentiasa berwaspada sekiranya air pasang berlaku dan berpindah jika diarahkan berbuat demikian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini