Tumpuan :
Nasional

249,268 kandungan judi, kes tipu di Facebook sudah dipadam – Fahmi

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil. Foto Parlimen/YouTube

KUALA LUMPUR: Sebanyak 249,268 kandungan di Facebook sudah dipadam atas permintaan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 172,072 kandungan berkaitan dengan perjudian dalam talian, dipadamkan manakala 56,136 lagi berkaitan dengan penipuan.

“Laporan daripada Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial polis menunjukkan satu trend yang membimbangkan, yang mana jenayah tradisional semakin bergerak ke media sosial.

“Kandungan perjudian dalam talian dan penipuan adalah antara yang paling ketara di Facebook.

“Jika ada ahli parlimen yang masih ingin mempertahankan Facebook/Meta (daripada dilesenkan), perlu diingat bahawa sehingga kini, sejumlah 249,268 kandungan di Facebook sudah diminta oleh MCMC untuk dipadam.

“Daripada jumlah ini, 172,072 berkaitan perjudian dalam talian dan 56,136 berkaitan penipuan.

“Ini bermakna 91.6 peratus daripada keseluruhan kandungan yang dipadam membabitkan aktiviti perjudian dalam talian dan penipuan,” katanya menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 babitkan kementeriannya.

Fahmi menjelaskan mengikut mekanisme semasa, MCMC tidak boleh mengarahkan penyedia platform untuk memadam kandungan, tetapi hanya boleh membuat permintaan.

“Terpulang kepada platform sama ada mereka mahu memadamkannya atau tidak.”
Menjawab soalan Datuk Seri Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah), dalam perbahasan yang membangkitkan mengenai data oleh Meta yang memaklumkan beberapa kandungan yang dipadam bersifat kritikal terhadap kerajaan Fahmi berkata;

“Tidak semua permintaan yang dibuat oleh MCMC kepada penyedia platform datang daripada saya, kerana sesiapa saja boleh membuat aduan kepada suruhanjaya.

“Saya tidak dimaklumkan, dan MCMC tidak meminta pengesahan saya sebelum mengambil tindakan, kerana mereka mempunyai kuasa untuk terus menghubungi platform media sosial.

“Ini tidak benar (permintaan datang daripada kerajaan). Jika mana-mana kandungan dipadam oleh penyedia platform, ini bermakna kandungan itu sudah melanggar piawaian komuniti platform berkenaan.”

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini