
KUALA LUMPUR: Seramai 2,477 bekas tentera menjalani hukuman dan diberhentikan perkhidmatan bagi tempoh tiga tahun iaitu dari 2022 hingga 2024.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata jumlah tertinggi direkodkan pada 2022, iaitu membabitkan 894 anggota.
“Jumlah bekas anggota tentera yang sudah menjalani hukuman dan diberhentikan perkhidmatan bagi 2023 pula membabitkan 767 anggota, manakala 2024, 816 anggota,” katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Norden Ahmad Ismail (PN-Lumut) yang meminta penjelasan mengenai jumlah bekas tentera yang menjalani hukuman dan diberhentikan perkhidmatan bagi 2022 hingga 2024 dan berapa ramai yang diberikan pengampunan serta dikategorikan semula sebagai veteran.
Mengulas soal pengiktirafan semula bekas tentera sebagai veteran ATM, Khaled berkata kriteria utama adalah mencapai tempoh 10 tahun selepas tarikh tamat tempoh perkhidmatan (TTP), iaitu sebagai bekas tentera.
“Namun, hasil Bengkel Pengiktirafan Bekas Tentera Sebagai Veteran ATM yang diadakan pada Februari 2023, kriteria sedia ada ini sudah diperhalusi dan dibawa ke Mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) Siri 2 Tahun 2024.
“Panel MVK memutuskan bahawa bekas tentera yang diberhentikan dalam keadaan khas (salah laku) tidak akan dipertimbangkan untuk diiktiraf semula sebagai Veteran ATM.
“Bagaimanapun, mereka boleh memohon untuk diberikan kemudahan kebajikan tertentu yang diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) dengan bantuan Yayasan Veteran ATM,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.