Tumpuan :
Nasional

247 sekolah agama swasta di Johor dikesan belum didaftarkan

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid

JOHOR BAHRU: Sebanyak 247 Institusi Pendidikan Islam Swasta (IPIS) di negeri ini dikesan belum didaftarkan, sehingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata mana-mana IPIS yang beroperasi tanpa didaftarkan adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan walaupun ia hanya menawarkan pendidikan awal kanak-kanak.

Katanya, tujuan pendaftaran IPIS adalah bagi mengawal dan memastikan institusi berkenaan diurus tadbir dengan baik, menyediakan guru bertauliah sekali gus menjaga kebajikan pelajar serta kakitangan selain diajar aliran akidah yang dibenarkan.

Beliau berkata, aliran akidah yang diajar perlulah berteraskan Ahli Sunnah wal Jamaah aliran al-Asya’irah dan al-Maturidiah, syariah fiqh mazhab As-Syafie di samping meraikan mazhab al-Hanafi, al-Maliki dan al-Hanbali, tasawwuf Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.

“Kerajaan Johor menyedari dan menghargai peranan yang dimainkan oleh mana-mana individu atau organisasi bukan kerajaan dalam menyumbang perkembangan pendidikan Islam, namun institusi yang ditubuhkan wajib didaftarkan.

“Sehingga kini, sebanyak 229 IPIS yang telah berdaftar dengan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

“Ia merangkumi 40 Sekolah Rendah Islam Swasta (SRIS), 10 Sekolah Menengah Islam Swasta (SMIS), 149 Maahad Tahfiz Swasta (MTS), 22Madrasah Pondok Swasta (MPS) dan lapan Madrasah Malabar Johor (MMJ).

“Namun demikian, terdapat 25 IPIS yang sedang melengkapkan proses pendaftaran manakala 247 lagi yang diketahui sedang beroperasi namun dikesan belum memulakan sebarang proses pendaftaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Fared berkata, kerajaan negeri menggesa kesemua 247 IPIS itu untuk segera mendaftar sebagaimana digariskan Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (EPSAI) 1991.

Katanya, menerusi EPSAI 1991, institusi pengajian agama yang perlu mendaftar membabitkan mana-mana Sekolah Agama Islam di Johor atau mana-mana tempat termasuk masjid, madrasah, surau, pusat Islam, balai Islam, pondok dan tadika dengan lima orang atau lebih pelajar yang belajar pengajian agama Islam.

Namun beliau kata, ia tidak membabitkan mana-mana Sekolah Agama yang berada di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Johor.

“Pendaftaran boleh dilakukan melalui mana-mana Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID) di seluruh negeri Johor.

“Adalah menjadi tanggungjawab mana-mana individu atau organisasi bukan kerajaan untuk mematuhi peraturan ini demi menjaga kesucian agama Islam yang menjadi tanggungjawab semua pihak,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini