Oleh: Nurul Amalina Zainudin
KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman merekodkan 246 kes penipuan atas talian, membabitkan kerugian lebih RM 3.6 juta, sepanjang 23 hingga 29 Oktober yang lalu.
Pengarahnya, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata urusniaga ini bermula melalui beberapa platform terkenal termasuk Facebook (84 kes), Whatsapp (55 kes), Telegram (30 kes), Instagram (25 kes), Mudah.my dan Carousell masing 2 kes, serta pelbagai lagi platform lain.
Ujarnya berdasarkan data yang dikeluarkan Meltwater.com, setakat Januari 2023, pengguna media sosial yang direkodkan di Malaysia adalah sebanyak 26.8 juta (78.5%) daripada keseluruhan populasi di Malaysia.
“Penggunaan media sosial sebagai medium untuk mencari mangsa akan membuka peluang kepada sindiket untuk berhubung dengan hampir 80% daripada keseluruhan rakyat Malaysia.”
Katanya lagi, bagi membanteras penipuan dalam talian, beliau amat mengalu-alukan tindakan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang bakal menetapkan syarat untuk melesenkan pengoperasian media sosial di negara ini.
“Sekiranya pendaftaran pengendali media sosial ini dapat direalisasikan, ianya akan memudahkan proses kerjasama khususnya dalam bantuan siasatan,” katanya.
Tambahan lagi, pendaftaran pengoperasian syarikat-syarikat ini juga akan meletakkan mereka dalam kebertanggungjawaban untuk mematuhi undang-undang di negara ini.