BANGI: 24 orang pekerja syarikat penerbangan MYAirline diwakili Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membuat tuntutan tunggakan gaji berjumlah RM200,000 di Pejabat Tenaga Kerja di sini, hari ini.
Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor, berkata tuntutan itu melibatkan gaji tertunggak selama dua bulan iaitu pada September dan Oktober lalu.
“Sepatutnya tuntutan ini tidak perlu dibuat kerana gaji adalah hak pekerja. Syarikat sepatutnya memberi gaji mereka. Apabila gaji tidak dibayar, pekerja tiada pilihan selain daripada datang ke Pejabat Tenaga Kerja untuk buat tuntutan ini.
“MTUC sangsi dengan kebolehan dan sikap profesional pengurusan MYAirlines,” katanya kepada media di sini, hari ini.
Katanya pekerja diberi penyata gaji secara dalam talian tetapi tidak menerima sebarang bayaran.
“Pihak pengurusan perlu memahami kesusahan yang dihadapi oleh pekerja. Sehingga sekarang pekerja masih lagi belum dapat kata putus sama ada mereka diberhentikan ataupun tidak.
“Sama ada pelabur akan melabur ataupun tidak (dalam syarikat), itu perlu difikirkan oleh majikan. Pengurusan tidak boleh menggunakan alasan seperti ini untuk tidak membayar gaji pekerja. Pekerja cuma memerlukan gaji mereka.
“Sekiranya tidak mampu membayar gaji, isytiharkan kepada pekerja supaya mereka dapat meneruskan kehidupan dengan mencari kerja lain. Sudahlah tidak membayar gaji, status pekerja dibiarkan tergantung pula, ini telah memburukkan imej majikan yang berada di Malaysia.
Kamarul juga berkata Jabatan Tenaga Kerja Bangi akan membuat tuntutan secara keseluruhan untuk pekerja dan mengadakan perbincangan dengan pihak syarikat pada 24 November ini di Pejabat Tenaga Kerja Subang Jaya.
Beliau turut menyeru supaya kepada pekerja yang belum membuat sebarang tuntutan untuk menuntut tuntutan.
Terdahulu media melaporkan sekumpulan pekerja syarikat penerbangan MYAirline yang sedang menghadapi penggantungan operasi sejak 12 Oktober lalu membuat laporan polis berkenaan tunggakan gaji mereka.
Kira-kira 20 pekerja MYAirline membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada 1 November lalu.
Kamarul Baharin memberitahu media bahawa laporan polis itu dibuat kerana MYAirline didakwa gagal membuat pembayaran gaji serta tidak membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PERKESO sejak Mei lalu.
Penggantungan operasi MYAirline pada 12 Oktober lalu yang dikatakan ekoran tekanan kewangan turut menimbulkan persoalan dalam kalangan lebih 500 kakitangan syarikat penerbangan itu berhubung status perkhidmatan mereka dalam syarikat yang memulakan penerbangan sulungnya pada 1 Disember tahun lalu.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Kakitangan MYAirline diminta segera fail tuntutan baki gaji di JTK
- MYAirline terima 15 cadangan pelabur berpotensi, 2 dalam rundingan
- [VIDEO] Pekerja MYAirline buat laporan polis, nasib tergantung
- Mavcom buka siasatan, beri surat tunjuk sebab kepada MYAirline
- 4 lagi ditahan bantu siasatan berkaitan MYAirline
- MAVCOM gantung lesen perkhidmatan udara MYAirline