Tumpuan :
Nasional

24 PATI ditahan dalam operasi Imigresen di Ipoh

Oleh: Kumaran Rajamoney

IPOH: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak menahan 24 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan di sekitar bandar Ipoh semalam.

Pengarah Imigresen Negeri Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, operasi dikendalikan Unit Aduan, Risikan dan Operasi Bahagian Penguatkuasa JIM Negeri Perak itu berlangsung dari jam 2.30 petang hingga 7.30 malam.

Operasi itu melibatkan pemeriksaan ke atas lapan premis dilakukan 12 pegawai berdasarkan aduan awam dan risikan yang dilakukan sebelumnya.

Sejumlah 38 individu diperiksa, termasuk warga Malaysia dan pelbagai warga asing.

“Hasil pemeriksaan mendapati 24 lelaki warga asing berusia antara 19 hingga 46 tahun ditahan kerana disyaki melanggar undang-undang imigresen. Mereka terdiri daripada empat warga Pakistan, sembilan warga Bangladesh, empat warga India, lima warga Yaman, seorang warga Mesir, dan seorang warga Indonesia.”

“Kesemua yang ditahan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Ipoh untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.

“Mereka disiasat atas pelbagai kesalahan termasuk berada di Malaysia tanpa permit sah di bawah Seksyen 6(1)(c), tinggal melebihi tempoh permit di bawah Seksyen 15(1)(c), serta melanggar syarat pas imigresen di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Pemilik premis dan majikan yang bertanggungjawab mengambil PATI bekerja turut disiasat di bawah Seksyen 55(B) dan Seksyen 55(E) Akta Imigresen 1959/63.

Menurut Meor Hezbullah, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau majikan yang melindungi, menggaji atau membenarkan keberadaan PATI di premis mereka tanpa dokumen yang sah.

Hukuman termasuk pendakwaan di mahkamah akan dikenakan.

“JIM komited untuk memastikan tindakan undang-undang dilaksanakan bukan sahaja terhadap PATI, tetapi juga terhadap individu atau pihak yang melanggar peraturan berkaitan imigresen,” katanya.

Pihak Imigresen turut meminta saksi serta pihak yang terlibat di lokasi serbuan untuk hadir ke Pejabat Imigresen Ipoh bagi membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini