comscore
Tumpuan :
Nasional

24 motosikal gagal ujian bunyi bising dikompaun

Sebanyak 24 pemilik motosikal gagal ujian bunyi bising dikompaun JAS Kedah dengan nilai keseluruhan berjumlah RM7,200.

Oleh: Selwam Arjunan

BANDAR BAHARU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengeluarkan kompaun terhadap 24 pemilik motosikal yang gagal ujian bunyi bising yang menyebabkan pencemaran udara, di sini, semalam.

Pengarah Jas Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata tindakan itu diambil dalam Operasi Penguatkuasaan Bunyi Bising Motorsikal telah dilaksanakan bersama Cawangan Trafik IPD Bandar Baharu bagi menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987.

“Jabatan Alam Sekitar terus komited menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi mengawal punca-punca pencemaran udara daripada pelbagai aktiviti. Salah satu punca utama pencemaran udara di kawasan perbandaran ialah kenderaan bermotor.

“Dalam operasi tersebut, sebanyak 24 buah motosikal telah diperiksa, dan kesemua motosikal gagal ujian bunyi bising.

“Sebanyak 24 kompaun bernilai keseluruhan RM7,200 telah dikeluarkan kepada pemilik motosikal yang melanggar Peraturan 4(2), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987.

“Pemilik motosikal terbabit diarahkan menjalankan pembetulan dan mengulang semula ujian terhadap kenderaan mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, operasi yang dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu akan dilaksanakan secara berterusan untuk memastikan pematuhan kepada peraturan sedia ada, sekaligus menjamin kualiti udara yang lebih baik.

Beliau juga menyeru pemilik kenderaan untuk memastikan kenderaan mereka mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan menjalankan pemeriksaan berkala dan mengelak daripada melakukan pengubahsuaian yang melanggar peraturan.

Sebarang aduan berkenaan pencemaran alam sekitar boleh dibuat melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari, e-mel ke [email protected], atau portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini