Tumpuan :
Nasional

24 kubur lama terjejas angkara ombak

Penduduk bergotong royong membaiki kawasan tanah perkuburan yang terjejas akibat dibadai ombak di Tanah Perkuburan Islam Pengkalan Maras (kubur lama). FOTO NSTP

KUALA NERUS: 24 kubur di Tanah Perkuburan Islam Pengkalan Maras terjejas akibat hakisan pantai susulan ombak kuat sejak November tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pengkalan Maras, Mohd Isshamudin Ismail berkata setakat ini 12 kubur lama berkenaan sudah dipindahkan akibat rosak teruk.

Katanya, baki 12 lagi sedang diperbaiki serentak dengan pembinaan tembok penghadang ombak selepas berlaku mendapan di kawasan berbabit.

“Kerja memindah dan membaiki kawasan kubur berkenaan sudah dilaksanakan sebanyak empat peringkat sejak akhir November lalu.

“Kali pertama dan ketiga membabitkan kerja memindah kubur yang terjejas teruk manakala kali kedua dan ke empat membabitkan kerja-kerja membaiki kubur yang mengalami kerosakan kecil seperti tanah mendap,” katanya.

Mohd Isshamudin berkata 12 kubur yang dipindahkan ke Tanah Perkuburan Islam Gong Awang Lik di Kampung Mengabang Telipot itu tidak dapat diselamatkan kerana mengalami kerosakan teruk akibat ombak kuat.

Katanya, kes terbaharu pada jam 6 petang semalam apabila ombak besar sehingga setinggi 2.4 meter dengan angin kencang menyebabkan lima lagi kubur terjejas dan mengalami kerosakan.

“Kerja-kerja membaiki kubur berkenaan termasuk menambak batu bagi meminimakan kelajuan ombak dilakukan bermula jam 8 pagi tadi.

“Kos bagi kerja-kerja penambakan ini adalah hasil sumbangan orang ramai dan penduduk beberapa kampung berhampiran kawasan ini,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Shaari Mohamad, 59, berkata kerajaan perlu mempercepatkan projek pembinaan pulau tiruan bagi mengelak hakisan terus berlaku di sepanjang pantai berkenaan.

Katanya, projek itu sepatutnya dimulakan pada Mac lalu tetapi sehingga kini masih belum disiapkan.

“Jika keadaan ini berterusan, saya percaya Kampung Pengkalan Maras dan beberapa kampung berhampiran bakal hanya tinggal nama. Malah kubur lama ini juga akan lenyap suatu hari nanti jika berterusan begini keadaannya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini