Tumpuan :
Nasional

235 PATI ditahan dalam operasi di lima daerah Johor

Antara pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam operasi besar-besaran di lima daerah di Johor. FOTO NSTP/IHSAN IMIGRESEN

JOHOR BAHRU: Seramai 235 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi besar-besaran ke atas pusat refleksologi dan rumah kongsi di lima daerah di negeri ini, bermula Jumaat sehingga semalam.

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan majikan, pemilik premis serta individu yang didapati menggaji serta melindungi PATI selepas program rekalibrasi pulang secara sukarela tamat Disember lalu.

Katanya, dalam serbuan pertama, seramai 130 warga asing berusia 21 hingga 55 tahun serta dua majikan pusat refleksologi ditahan menerusi operasi serentak di lima daerah pada tengah malam Jumaat.

Beliau berkata, 90 PATI ditahan di Johor Bahru, sembilan PATI dan dua majikan ditahan di Batu Pahat, 12 PATI (Mersing dan Muar) dan tujuh lagi di Segamat.

“Pemeriksaan ke atas 18 kilang dan rumah kongsi, selain 17 pusat refleksologi, yang mana dua majikan lelaki warga tempatan yang ditahan berusia 32 dan 53 tahun.

“PATI yang ditahan itu adalah empat wanita warga China; lima wanita Thailand; 17 lelaki dan 17 wanita warga Indonesia; enam wanita Vietnam; 23 lelaki dan lima wanita Myanmar; dua lelaki warga India; 36 lelaki Bangladesh dan 15 lelaki warga Pakistan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Darus berkata, 105 PATI lagi berjaya ditahan dalam serbuan di rumah kongsi pekerja di Batu Pahat dalam Ops Sapu bermula 1 pagi semalam.

Katanya, serbuan dibuat susulan aduan awam dan keseluruhan 329 warga asing berusia antara 18 hingga 54 tahun diperiksa.

“Mereka yang ditahan adalah 77 lelaki warga Bangladesh; 16 lelaki dan tujuh wanita warga Indonesia; dua lelaki warga Myanmar; dua lelaki warga Pakistan serta seorang lelaki warga India,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 12 notis hadir ke pejabat juga telah dikeluarkan dalam kedua-dua serbuan berkenaan bagi membantu siasatan.

Mohd Rusdi berkata, kesemua 235 PATI yang ditahan, disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Mereka ditempatkan di Depoh Imigresen Pekan Nenas untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini