Oleh: Ain Shafiqah Zaki
KLANG: Lebih 200 kenderaan mewah dan elektrik bernilai lebih RM27.45 juta ringgit yang cuba diseludup masuk dari sebuah negara di Asia Timur melalui laluan laut, dipatahkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia, (JKDM).
Ia membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard, kereta Mini Cooper dan Chery Omoda.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, rampasan pertama membabitkan 67 kontena yang mengandungi kenderaan pelbagai jenis dengan anggaran nilai dan duti cukai berjumlah lebih RM22.66 juta.
“Dalam pemeriksaan pada 25 Jun lalu, pasukan menemui 200 kenderaan dipercayai tidak mempunyai permit import.
“Pihak pengimport mengikrar dagangan sebagai ‘Chery passenger car’ melalui borang manifes tetapi tidak mempunyai permit import,” katanya dalam sidang media di pejabat Kastam Pelabuhan Utara di sini, hari ini.
Dalam serbuan kedua pada 27 Jun lalu, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah membuat penahanan ke atas 17 kontena di zon bebas, pelabuhan utara.
Hasil pemeriksaan menemui 31 kenderaan dipercayai tidak mempunyai permit import dengan nilai dagangan dianggarkan RM1.79 juta dan duti cukai berjumlah RM3 juta.
Siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak JKDM.
Berdasarkan siasatan awal, semua kenderaan itu bagi pasaran tempatan namun ia dibawa masuk ke negara ini tanpa permit import.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.