Tumpuan :
Nasional

23 lokasi kerap kemalangan dipantau JPJ Selangor sepanjang Aidilfitri

SHAH ALAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor akan memfokuskan penguatkuasaan di 23 kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan (black spot) di negeri ini sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri 2023 (OPS HRA) yang bermula semalam.

Timbalan Pengarah JPJ Selangor Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata antara lokasi yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan adalah Lebuhraya Persekutuan; Jalan Kuala Lumpur Ipoh; Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Kilometer sembilan hingga 16; Jalan Meru dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE).

“Penguatkuasaan dalam operasi ini memfokuskan sembilan kesalahan utama termasuk tidak mematuhi lalu lintas, memandu melebihi had laju, mengguna telefon bimbit ketika memandu, memotong barisan dan membawa lebih muatan.

“Baru-baru ini juga, pihak kami mengadakan Pra Ops HRA melibatkan pemeriksaan bas di Depoh Sani Express Klang Sentral dan Depoh Konsortium Transnational Berhad bagi memastikan pengusaha bas mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan supaya perjalanan ke destinasi sentiasa selamat,” katanya kepada pemberita pada Ops HRA JPJ Selangor di Terminal 17, Seksyen 17, di sini hari ini.

Foto hiasan

Mengulas lanjut, Kamarunzaman berkata pada Ops kali ini juga, pihaknya akan menumpukan kepada penunggang motosikal antaranya berkaitan lesen memandu; nombor pendaftaran kenderaan; tidak menggunkan lorong motosikal dan kesalahan teknikal.

Beliau turut menasihatkan orang awam untuk membuat sebarang aduan sekiranya terdapat salah laku berkaitan dengan menghubungi JPJ Selangor di talian 03-55669442 atau emel [email protected].

“Pengguna jalan raya diingatkan untuk sentiasa peka, bertolak ansur semasa memandu selain sentiasa mematuhi peraturan jalan raya untuk keselamatan bersama” katanya.

Operasi penguatkuasaan yang bermula semalam hingga 27 April itu akan melibatkan 325 anggota JPJ Selangor.

Loading...
Terkini