Tumpuan :
Nasional

23 lagi saksi kes rasuah, ubah wang haram dikaitkan Ismail Sabri akan dipanggil SPRM

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan merekodkan keterangan 23 lagi saksi baharu dalam siasatan terhadap kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sumber memaklumkan Buletin TV3, SPRM sedang menyelesaikan semua percakapan daripada sejumlah individu untuk tindakan seterusnya.

Katanya, dalam kes itu sahaja lebih 30 saksi diperlukan untuk dirakamkan percakapan.

“Setakat ini 23 lagi saksi diperlukan untuk dirakam percakapan. Mereka ini adalah saksi-saksi baharu dalam siasatan berkenaan,” katanya tanpa mendedahkan siapa antara saksi baharu yang akan dipanggil.

Difahamkan sekitar empat hingga lima saksi sedang dirakamkan percakapan ketika ini.

“Saksi-saksi berkenaan diambil keterangan selepas empat individu ditahan baru-baru ini,” katanya.

Jumaat lalu, pegawai penyiasat menemubual seorang doktor bergelar Datuk di sebuah hospital di Petaling Jaya yang merawat Ismail Sabri dan SPRM mahu mengetahui sejauh mana tahap kesihatan Ahli Parlimen Bera itu.

Ismail Sabri sepatutnya hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM esok, tetapi beliau tidak akan berbuat kemudian kerana dikatakan masih tidak cergas untuk berbuat demikian

Dimaklumkan, pemimpin itu tidak akan hadir esok kerana masih diberikan sijil cuti sakit (MC) sehingga Rabu ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini