NIBONG TEBAL: Sebuah bas persiaran membawa 24 jemaah surau dari Seremban, terbabit kemalangan dengan sebuah lori kontena di Kilometer (KM) 157.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berdekatan dengan Kawasan Rehat dan Rawat ( R&R ) Sungai Bakap di sini, pagi tadi.
Dalam insiden itu, seramai 23 mangsa dilaporkan cedera dan kini menerima rawatan di dua buah hospital di negeri ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap serta Nibong Tebal bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 4.16 pagi berhubung insiden berkenaan.
“Ketika tiba di sana, sebuah bas persiaran yang membawa 24 penumpang dengan dua pemandu didapati melanggar belakang sebuah lori kontena.
“Terdapat 23 mangsa mengalami kecederaan termasuk dua pemandu bas manakala tiga tidak mengalami kecederaan.
“Dalam kemalangan ini tiada mangsa yang tersepit dan mereka yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Bakap (HSB) serta Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, siasatan kes kemalangan itu dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Difahamkan, bas persiaran itu dalam perjalanan membawa rombongan jemaah surau berkenaan untuk mengikuti program yang berlangsung di Murtadha Dakwah Centre (MADAD), Sungai Petani, Kedah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.