Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 23 banduan OBB Penjara Pokok Sena syukur dapat beraya dengan keluarga

 

Oleh Kumaran Rajamoney

POKOK SENA: `Saya seronok, tak dapat tidur malam’.

Itu antara reaksi banduan di Penjara Pokok Sena di sini, yang terpilih untuk dilepaskan lebih awal  susulan pengumuman kerajaan semalam, berhubung pelaksanaan pelepasan Orang Bebas Berlesen (OBB) di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI (Kepulangan Yang Dinanti) sempena Aidilfitri ini.

Din (bukan nama sebenar), 62 yang telah memasuki penjara sebanyak 13 kali atas pelbagai kesalahan berkait dadah nekad mahu berubah dan membina kehidupan baharu bersama keluarga.

“Saya terjebak dengan salahguna dadah selama lebih 25 tahun. Saya sedar kini saya sudah tua. Sudah sampai masanya untuk saya berubah dan menjalani kehiduapan seperti biasa dengan anak-anak dan dua orang cucu saya. ”

“Saya syukur dipilih untuk dilepaskan lebih awal dari tarikh yang ditetapkan. Sejak dimaklumkan, saya menjadi seronok dan tidak dapat tidur malam.”

Baru berusia 22 tahun, Amir pula yang berdepan hukuman penjara buat pertama kali turut bersyukur tempoh hukumannya dipendekkan.

“Saya sangka Aidilfitri ini akan diraikan dengan berada dibelakang tirai besi. Saya sudah siapkan kad ucapan kepada ibu saya sebagai pengganti diri. Syukur, saya dapat kembali bersama ibu dan keluarga menyambut Syawal.”

Dalam pada itu, Shah, 21 yang pernah dua kali menyambut Syawal di dalam penjara atas kesalahan dadah dan jenayah sudah serik dan nekad mahu berubah.

“Sebelum ini saya ditempatkan di Penjara Sungai Petani selama dua tahun. Namun, bagi kesalahan kali ini saya ditempatkan di Penjara Pokok Sena. Di sini saya ditempatkan bersama penghuni yang lebih berusia.”

“Melihat mereka, saya insaf. Mudah-mudahan saya diberikan kekuatan untuk terus menjauhi kesalahan lalu.”

Timbalan Pengarah Penjara Pokok Sena, S.Tanabal Sockalingam.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Penjara Pokok Sena, S.Tanabal Sockalingam berkata kesemua banduan ini dilepaskan dan ditempatkan dibawah pemerhatian Pejabat Parol Daerah sehingga tarikh pembebasan sebenar.

“Dalam tempoh ini, kesemua banduan perlu mematuhi peraturan yang telah digariskan termasuk berada di dalam rumah selepas jam 7 malam.”

“Mereka juga tidak boleh terlibat dengan apa-apa kesalahan dibawah undang-undang,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelepasan banduan OBB merupakan ikhtiar bagi memberi peluang kepada penghuni penjara beragama Islam untuk merayakan Aidilfitri bersama keluarga mereka.

Program ini membabitkan pelepasan lebih 1,000 banduan OBB sepanjang Ramadan dan Syawal ini.

Loading...
Terkini