Tumpuan :
Nasional

2,240 kes dera kanak-kanak direkodkan sehingga Ogos tahun ini – JKM

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri ketika sesi soal jawab lisan sempena Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,240 kes penderaan kanak-kanak direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara sehingga Ogos lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia membabitkan tiga kategori penderaan iaitu fizikal, seksual dan emosi.

“Daripada jumlah itu, 897 membabitkan penderaan fizikal manakala 1,260 kes merangkumi penderaan seksual serta 83 kes lagi penderaan emosi.

“Sementara itu, bagi kes jenayah seksual kanak-kanak pula dibahagikan kepada 14 kategori iaitu rogol, rogol berkumpulan, sumbang mahram, cabul kehormatan, berkelakuan aib, menghendap, seks luar tabii, pornografi kanak-kanak, berkomunikasi secara seksual dengan kanak-kanak, pengantunan kanak-kanak, berjumpa selepas pengantunan, amang seksual fizikal, amang seksual bukan fizikal dan kesalahan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

“Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kes seksual membabitkan kanak-kanak bagi tahun ini dari Januari hingga April 2024 ialah 2,059 kes,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.

Beliau menjawab pertanyaan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai statistik kes seksual dan penderaan kanak-kanakserta langkah dilaksanakan bagi mengekang fenomena itu.

Bagi menangani perkara itu, Nancy berkata, kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif merangkumi aspek pencegahan, perlindungan dan pemulihan melalui pelaksanaan perundangan dan penguatkuasaan menerusi Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta Pusat Jagaan 1993, Dasar Kanak-Kanak Negara dan Pelan Tindakan dan Pemerkasaan Jawatan Pegawai Pelindung.

“Pada masa sama, menambah baik Akta Kanak-Kanak 2001 melalui pindaannya pada tahun 2016 dengan menaikkan hukuman sedia ada di bawah Seksyen 31 iaitu peningkatan tempoh maksimum pemenjaraan daripada 10 tahun kepada 20 tahun, bayaran denda tidak melebihi RM50,000 serta Perintah Khidmat Masyarakat (CSO) sebagai hukuman mandatori.

“Selain itu, KPWKM menerusi JKM melancarkan Program Kasih Kanak-Kanak bermula 2023 untuk menyebarluas kesedaran dan advokasi terhadap perlindungan kanak-kanak,” katanya.

Bagaimanapun Nancy berkata, usaha dalam membendung penderaan dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak tidak seharusnya diletakkan kepada kerajaan semata-mata.

“Kerjasama bersepadu dan berterusan daripada semua pihak sama ada individu, komuniti, organisasi sektor swasta mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diperlukan bagi memastikan kesalahan ini tidak terus membelenggu kanak-kanak di negara ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini