BATU PAHAT: Dua majikan bersama 22 tukang urut warga asing ditahan selepas tiga pusat urut di bandar ini diserbu Jabatan Imigresen Malaysia Johor, semalam.
Semua mereka ditahan menerusi Op Gegar yang dijalankan, jam 7 malam, hasil aduan orang awam dan risikan.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, individu ditahan membabitkan tukang urut warga Thailand, Myanmar dan Indonesia.
“Semuanya yang berusia 20 hingga 50 tahun ditahan selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan. Ketika serbuan, pusat urut terbabit baru memulakan operasi di sebuah premis perniagaan yang menawarkan khidmat terbabit menggunakan wanita warga asing.
“Pemeriksaan terhadap semua tukang urut warga asing itu mendapati, mereka tiada dokumen sah serta tinggal lebih masa,” katanya.
Beliau berkata, dua majikan warga tempatan masing-masing lelaki dan wanita berusia 40-an serta 70-an ditahan bagi membantu siasatan.
“Kedua-duanya ditahan mengikut Seksyen 56 (1) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi pendatang asing tanpa izin.
“Semua tukang urut terbabit dibawa ke Depot Tahanan Pekan Nenas, Pontian,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.