Tumpuan :
Nasional

22 rumah rosak disebabkan letupan stor mercun

Foto : NSTP

RANTAU PANJANG: 22 buah rumah di Kampung Bukit Lata, di sini, rosak susulan kejadian letupan pada stor penyimpanan mercun di Pekan Mundok jam 4.10 petang, semalam.

Kebanyakan rumah penduduk mengalami kerosakan seperti pecah cermin tingkap, siling runtuh malah ada beberapa kediaman yang mengalami keretakan.

Salah seorang penduduk, Syed Mohd Azman Syed Abd Aziz, 57, berkata dia hampir rebah di dalam tandas kerana merasa seperti ada tolakan yang sangat kuat ketika letupan itu berlaku.

“Saya berada di tandas untuk bersiap sebelum solat Asar dan terus bergegas keluar apabila mendengar letupan berkenaan yang saya sangkakan bom. Seluruh keluarga panik dan keluar daripada rumah kerana bimbang jika rumah akan runtuh.

“Sebaik keluar, saya melihat jiran lain juga terpinga-pinga serta ketakutan sebelum ternampak kepulan asap di seberang sana dan kami dimaklumkan bahawa berlaku letupan pada tempat penyimpanan mercun.

“Ia adalah kejadiankali pertama seumpama ini yang mana turut merosakkan harta benda penduduk,” katanya.

Kampung Bukit Lata adalah penempatan yang paling terdekat dengan pekan Mundok, Thailand yang hanya dipisahkan oleh Sungai Golok.

Seorang lagi penduduk, Abdul Razak Che Wan 62, berkata dia jatuh tersungkur ke tanah akibat kesan letupanitu kerana ketika kejadian dia berada di tebing sungai berdekatan perahu yang diletakkan di pangkalan berdekatan.

“Saya hanya mampu mengucap panjang dan berasa kosong seketika kerana terkejut dengan apa yang berlaku. Keluarga saya ramai di sebelah Mundok, jadi saya segera menelefon mereka sebelum dimaklumkan tentang kejadian sebenar.

“Alhamdulillah, keluarga saya semuanya selamat tetapi saya dimaklumkan seramai 11 penduduk ditemui meninggal dan masih ada sekurangnya lima lagi mangsa yang masih belum ditemio kerana dihempap runtuhan bangunan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, sekurang-kurangnya 10 dilaporkan mati, manakala puluhan lagi mangsa cedera selepas stor menyimpan bunga api dan mercun dekat Pasar Mundok di sebelah Thailand yang bersempadan dengan pekan ini, meletup petang semalam.

Setakat ini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terbabit dalam kejadian itu.

Semua mangsa dilaporkan warga Thailand.

Semua mangsa yang terbunuh dan cedera dalam kejadian itu dikejarkan untuk rawatan di Hospital Sungai Golok.

Loading...
Terkini