comscore
Tumpuan :
Nasional

22 rumah musnah terbakar di Sandakan

Sebahagian rumah yang musnah dalam kebakaran di Batu 3, Sandakan hari ini.

SANDAKAN: Lebih 100 orang penduduk hilang tempat tinggal dalam kebakaran membabitkan kira-kira 22 buah rumah di Batu 3, berhampiran Kiriman Tung Ma, di sini, petang tadi.

Kejadian pada jam 4 petang itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Severinus Sainkui berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.07 petang.

Katanya, sepasukan 34 anggota dan pegawai bersama dua jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) BBP Sandakan diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Rosemidian Majid dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati api sedang marak memusnahkan beberapa buah rumah jenis tidak kekal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Api berjaya dikawal kira-kira jam 4.41 petang.

Punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat.

Operasi pemadaman turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini