KUALA LUMPUR: Sebanyak 22 kucing liar di Universiti Malaya (UM), di sini, diselamatkan oleh sekumpulan sukarelawan yang prihatin dengan nasib haiwan berkenaan.
Langkah itu susulan kematian beberapa kucing yang ditemukan dalam keadaan menyayat hati baru-baru ini.
Inisiatif itu dikongsikan menerusi perkongsian video di TikTok @Shopbyhaniz yang meraih lebih 852,000 tontonan.
Kesemua kucing berkenaan ditempatkan di lokasi selamat sebelum dihantar ke klinik veterinar untuk pemeriksaan kesihatan.
“Alhamdulillah, kami berjaya menyelamatkan 22 ekor kucing di UM.
“Kesihatan kucing itu akan diperiksa, dimandulkan, diberi vaksin, serta diberi ubat cacing dan kutu,” tulisnya di video berkenaan.
Meninjau ruangan komen, rata-rata warganet memuji usaha dan keprihatinan sukarelawan berkenaan selain berharap kejadian yang berlaku terhadap kucing malang sebelum ini tidak berulang.
“Terima kasih kak (kakak)… selepas ini rindu nak main dengan kucing setiap kali balik dari kelas.
“Tapi selagi kucing itu selamat, saya gembira,” tulis seorang pengguna TikTok, Najwa.
“Alhamdulillah… nasib ada insan yang berhati mulia menyelamatkan kucing ini. Takut jadi mangsa pembunuhan kejam,” tulis DK Intan.
Sebelum ini, media melaporkan dua ekor kucing ditemukan mati dalam keadaan menyayat hati di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM.
UM semalam membuat laporan polis berhubung insiden seekor kucing yang ditemui mati dalam keadaan mengerikan dalam kawasan kampus.
Menerusi satu kenyataan semalam, UM memaklumkan pihaknya amat prihatin terhadap perkembangan membabitkan kematian ngeri beberapa ekor kucing sekitar kampus serta komited untuk memastikan kawasan kampus menjadi persekitaran yang selamat.
UM memaklumkan ia adalah kes kedua yang berlaku dan laporan polis dibuat untuk membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut serta memastikan tindakan diambil sekiranya terdapat unsur penganiayaan oleh manusia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.