KOTA KINABALU: Sebanyak 214 projek membabitkan pembinaan gantian sekolah daif, sekolah baharu, bangunan pejabat pendidikan daerah, bangunan tambahan dan perolehan tanah di Sabah sudah diluluskan Kementerian Ekonomi dengan nilai keseluruhan antara RM10 juta sehingga RM300 juta.
Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, pihaknya komited meneruskan momentum bagi memastikan permohonan bilangan projek khususnya membabitkan gantian sekolah daif dapat ditingkatkan.
“Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) pada Disember tahun lalu mengemukakan sebanyak 108 permohonan projek yang berjaya dibentangkan di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Menerusi jumlah itu, sebanyak 98 projek berjaya melepasi tapisan KPM dan bakal dibentangkan kepada Kementerian Ekonomi pada Mei hadapan.
“Ia bertujuan kelulusan bajet yang akan diumumkan pada pembentangan Belanjawan Negara pada Oktober 2025 akan datang,” katanya ketika berucap sempena Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 JPNS, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Raisin menyatakan terdapat beberapa kekangan yang perlu ditangani segera khususnya membabitkan status tapak tanah sekolah dan pengesahan keselamatan bangunan.
Beliau berkata, sinergi bersama pihak yang berkepentingan amat diperlukan bagi memastikan usaha berterusan menangani isu sekolah daif Sabah dapat ditingkatkan bagi jangka masa panjang.
“Dalam masa sama, usaha mengenal pasti keperluan pembangunan sekolah perlu sentiasa diteliti dari semasa ke semasa dan ditangani segera terutamanya di peringkat kepimpinan sekolah dan pejabat pendidikan daerah (PPD) tanpa perlu menunggu isu ditularkan pihak luar,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.