JERTIH: Sebanyak 212 premis Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di negeri-negeri terlibat banjir pada 18 Disember lalu, terjejas setelah dinaiki air.
Ketua Pengarah Kemas Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi berkata, jumlah tersebut termasuk 100 premis Tabika Kemas di Terengganu dan selebihnya di Pahang dan Kelantan.
“Sejumlah 694 kakitangan Kemas sendiri turut menjadi mangsa banjir di negeri tersebut.
“Di daerah Besut pula 24 tabika terlibat dengan banjir,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Tabika Kemas Kampung Darau di Hulu Besut dekat sini, hari ini.
Sebelum itu beliau bersama Pengarah Kemas Terengganu, Dr Faridah Mat melakukan pemantauan pascabanjir di beberapa premis Tabika Kemas di kawasan Hulu Besut yang terkesan banjir.
Ahmad Kamal Idris berkata bagaimanapun kesemua premis Tabika Kemas terlibat akan dibuka seperti biasa bermula sesi Januari (Ahad dan Isnin) ini, kerana semua premis terbabit tidak mengalami kerosakan struktur bangunan yang serius.
Katanya kebanyakan kerosakan hanya membabitkan perabot, peralatan dan buku-buku di dalam premis.
“Kami sedang mengenal pasti nilai keseluruhan kerosakan dan usaha memperbaiki serta menggantikan kemudahan peralatan baharu akan diusahakan segera untuk memastikan keselesaan anak-anak dan kakitangan.
“Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua sukarelawan seperti ibu bapa, kepimpinan setempat selain kakitangan Kemas yang terbabit membantu membersihkan premis terlibat,” katanya.