GEORGETOWN: Semua 21 warga emas dari sebuah rumah penjagaan di Padang Serai, Kedah, yang ditinggalkan di luar pejabat Malaysian Tamilar Kural di Inderawasih, Prai tengah hari semalam, sudah ditempatkan semula di rumah perlindungan lain.
Pengasas dan pemegang amanah Yayasan Malaysian Tamilar Kural, David Marshel, berkata lapan daripada mereka telah diterima oleh Rumah Kasih Sayang di Kulim, sebuah kemudahan persendirian.
Baki 13 lagi telah dipindahkan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang.
Beliau juga menyatakan bahawa tiga daripada mereka yang mengalami masalah kesihatan mental akan diuruskan oleh Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, menurut maklumat daripada pejabat Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri.
Semua warga emas yang ditinggalkan di luar pejabat Malaysian Tamilar Kural sekitar jam 12.30 tengah hari semalam telah ditempatkan semula di rumah perlindungan pada pukul 10 malam tadi.
“Bagi pihak Yayasan Malaysian Tamilar Kural, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan penghargaan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial dan Kebajikan Negeri, Lim Siew Khim, dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri, Daniel Gooi, atas arahan mereka kepada jabatan berkaitan untuk mengambil tindakan segera dalam hal ini.
“Saya menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat individu yang meletakkan semua warga emas dalam keadaan yang menyedihkan dan diabaikan ini.
“Saya percaya tindakan akan diambil mengikut undang-undang terhadap individu yang bertanggungjawab,” katanya hari ini.
Sebelum ini dilaporkan 21 warga emas dari sebuah rumah penjagaan di Padang Serai, Kedah, ditinggalkan di luar pejabat Malaysian Tamilar Kural di Inderawasih, Prai, semalam, mencetuskan kemarahan.
Penasihat Yayasan Malaysian Tamilar Kural, M Satees, percaya bahawa tindakan meninggalkan mereka berlaku selepas video pengabaian mereka tular, sewaktu lawatan mereka ke sana pada hujung minggu lalu.
Katanya, dalam lawatan itu, mereka menyaksikan beberapa penghuni yang mengalami masalah kesihatan mental dan dirantai.
Mereka segera menggunakan media sosial untuk menarik perhatian kepada layanan tidak berperikemanusiaan ini dan menuntut penjelasan daripada pihak berkuasa, termasuk Kementerian Kesihatan.
Jelasnya, David berkata rumah penjagaan tidak berlesen itu telah dirampas oleh Jabatan Kebajikan Kedah pada April tahun ini selepas video seorang penghuni warga emas dipukul oleh seorang penjaga di kemudahan itu menjadi viral.
Bagaimanapun, katanya, pengendali tidak menyerahkan semua penghuni kepada Jabatan Kebajikan dan sebaliknya memindahkan mereka ke sebuah pondok di ladang sawit di Sungai Karangan, Kedah.
Katanya, lokasi itu kekurangan kemudahan asas, dan tiada penjaga atau jururawat untuk menjaga penghuni.
Beliau juga berkata keadaan di sana sangat daif dengan bau yang busuk, menjadikannya sama sekali tidak sesuai untuk didiami sesiapa pun.
Katanya, beberapa penghuni didapati dirantai di pondok tersebut, dipercayai disebabkan masalah kesihatan mental.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa