KOTA BHARU: 21 tan daun tembakau jenis virginia bernilai RM650,000 dirampas dalam operasi bersepadu oleh Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) di sebuah stor di Lorong Pengkalan 7, Ipoh, Perak.
Rampasan terbesar dalam tempoh tiga tahun itu dilakukan hasil operasi bersepadu LKTN dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), pada 3 Januari lalu.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Zailani Hashim, berkata rampasan dilakukan hasil intipan selama tiga minggu.
Berdasarkan siasatan, katanya, modus operandi suspek adalah menyeludup masuk bahan terlarang itu dari negara jiran sebelum daun tembakau itu disimpan di dalam stor untuk tempoh tertentu.
“Bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan dan kita sudah mengambil keterangan daripada pemilik stor berkenaan untuk siasatan lanjut.
“Daun tembakau jenis virginia adalah antara daun tembakau yang mempunyai kualiti tinggi dan paling mahal. Ia boleh menghasilkan rokok berkualiti. Lebih lama tembakau itu disimpan, maka lebih berkualiti rokok itu dihasilkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat LKTN di sini, hari ini. Yang turut hadir, Ketua Pengarah LKTN, Wan Baharuddin Wan Ismail.
Zailani berkata, rampasan dilakukan mengikut Seksyen 51(1) Akta LKTN 2009 (Akta 692) iaitu tiada seorang pun boleh menyimpan atau memiliki tembakau diawet melainkan dengan kebenaran bertulis daripada lembaga.
“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama dengan agensi lain iaitu JKDM dan PDRM. Kita akan memperkukuhkan kerjasama dengan pelbagai agensi bagi mengekang aktiviti berkenaan.
“LKTN memandang serius terhadap kesalahan yang membabitkan aktiviti tidak sah seperti menyimpan, memiliki dan memindahkan stok tembakau tanpa kelulusan lembaga,” katanya.