Tumpuan :
Nasional

21 lokasi berpotensi dibangunkan sebagai tapak perpaduan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 21 lokasi di seluruh negara dilihat berpotensi untuk dibangunkan sebagai tapak perpaduan.

Menurut Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, pembangunan tapak perpaduan itu akan dilaksanakan melalui Projek Pembangunan Ruang Sosial dan Ruang Fizikal di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Perumahan Strata Kos Rendah.

“Antara cadangan projek adalah pembinaan dewan terbuka, pembinaan taman permainan kanak-kanak, pembinaan gazebo, sudut hijau, pusat kegiatan sukan, pusat kegiatan komuniti berpusat, perpustakaan komuniti dan pembinaan trek berjalan,” katanya dalam hantaran di aplikasi X.

Beliau terdahulu memaklumkan telah mempengerusikan Majlis Mesyuarat Menteri Perpaduan Negara bersama EXCO-EXCO Perpaduan Negeri dan Exco-Exco Hal Ehwal Agama Selain Islam (MExUnity) yang pertama bagi tahun ini.

Dalam mesyuarat tersebut, beberapa isu dibincangkan termasuk pelaksanaan pemutihan 584 tanah premis perpaduan, pengurusan isu perpaduan di peringkat akar umbi, serta perancangan untuk Sambutan Minggu Perpaduan 2025.

Selain itu, mesyuarat juga menilai laporan pencapaian Inisiatif Pemerkasaan Rukun Tetangga Progresif tahun lepas, di mana 152 Rukun Tetangga telah dimodelkan sebagai penggerak komuniti progresif.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini