KUALA LUMPUR: Sebanyak 21 kes berkaitan 3R (agama, kaum dan raja) didakwa di mahkamah, bagi tempoh 2023 hingga September lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, daripada jumlah itu, lapan kes membabitkan isu 3R dituduh bagi tahun ini setakat September lalu.
“Daripada jumlah itu, lima kes yang menyentuh institusi diraja merangkumi empat masih dalam peringkat perbicaraan dan satu kes telah dijatuhkan hukuman.
“Selain itu, tiga kes lagi membabitkan isu agama yang dituduh pada tahun 2024 sudah dijatuhkan hukuman.
“Bagaimanapun, tiada kes 3R yang dituduh pada tahun 2024 membabitkan isu perkauman,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) mengenai jumlah kes pendakwaan berkaitan 3R yang sudah dibicarakan serta disabit dengan hukuman sejak awal 2023.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, sebanyak 13 kes berkaitan 3R dituduh di mahkamah pada 2023.
“Daripada jumlah itu, lapan kes berkaitan dengan institusi diraja membabitkan tiga masih dalam peringkat perbicaraan, dua kes dilepas dan dibebaskan dan tiga kes dijatuhkan hukuman.
“Pada masa sama, tiga kes menyentuh isu agama yang dituduh pada 2023 dijatuhkan hukuman.
“Selain itu, dua kes menyentuh isu perkauman yang dituduh pula membabitkan satu kes masih dalam peringkat perbicaraan dan satu kes telah dijatuhkan hukuman,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.