Tumpuan :
Nasional

2,062 mangsa banjir di Sabah, Sarawak pagi ini

Foto Ihsan JBPM. – Foto fail

KUALA LUMPUR: Seramai 2,062 mangsa banjir di Sabah dan Sarawak berlindung di 15 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah mangsa banjir meningkat daripada 1,047 orang membabitkan 325 keluarga malam tadi kepada 1,061 orang daripada 332 keluarga pagi ini.

Ia merangkumi 707 orang daripada 234 keluarga di tiga PPS di Beaufort, 252 orang (63 keluarga) di dua PPS daerah Kinabatangan dan 102 orang (35 keluarga) di sebuah PPS daerah Membakut.

Tambah kenyataan itu, 18 kampung terjejas banjir dengan 13 di Membakut, tiga (Beaufort) dan dua (Kinabatangan).

Sementara di Sarawak, seramai 1,001 orang mangsa banjir berada di sembilan PPS di empat bahagian iaitu Bintulu, Miri, Mukah dan Sibu.

Ia meningkat berbanding 992 orang malam tadi.

Sekretariat JPBN Sarawak memaklumkan, peningkatan berlaku ekoran jumlah mangsa di Bintulu bertambah daripada 274 orang kepada 281 di dua PPS, manakala di Miri daripada 277 orang kepada 279 di tiga PPS.

Mangsa di Bahagian Mukah pula tidak berubah iaitu 438 orang di tiga PPS, sementara terdapat tiga lagi mangsa berlindung di satu PPS di Bahagian Sibu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini