JOHOR BAHRU: Seramai 205,810 pengundi akan melaksanakan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, hari ini.
Bagi Parlimen Pulai 165,509 pemilih berdaftar akan mengundi manakala bagi DUN Simpang Jeram membabitkan 40,301 pengundi yang akan memutuskan wakil rakyat baharu.
PRK di kedua-dua kerusi itu diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian Datuk Seri Salahuddin Ayub juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.
PRK Pulai dan Simpang Jeram menyaksikan saingan tiga penjuru membabitkan pertembungan antara calon Pakatan Harapan (PH) dengan Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas.
Selasa lalu, seramai 927 pengundi awal membabitkan pegawai dan anggota polis selesai melunaskan tanggungjawab masing-masing bagi Parlimen Pulai, manakala tiada pengundi awal di Simpang Jeram.
Bagi proses pengundian yang bermula pada jam 8 pagi sehingga 5 petang hari ini, sebanyak 47 pusat mengundi membabitkan 294 saluran disediakan di Parlimen Pulai, manakala 14 pusat mengundi dengan 68 saluran dibuka bagi DUN Simpang Jeram.
Dalam pada itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi melebihi 70 peratus.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata jika jumlah peratusan itu tercapai, ia mengatasi peratusan keluar mengundi, iaitu lebih 60 peratus yang direkodkan dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos lepas.
“Kita menjangkakan peratusan itu selepas melihat beberapa faktor, antaranya tanggungjawab yang perlu ditunaikan pengundi dan calon-calon yang sangat hebat dan bersemangat ketika berkempen,” katanya ketika diminta mengulas mengenai peratusan keluar mengundi bagi kedua-dua PRK.
Justeru, Abdul Ghani menyeru agar semua pengundi keluar melaksanakan tanggungjawab masing-masing dan merancang perjalanan susulan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Abdul Ghani berkata pengundi juga dinasihatkan supaya jangan sesekali menyerahkan kad pengenalan kepada individu yang tidak dikenali, selain daripada petugas SPR untuk tujuan semakan.
Seramai 2,692 petugas bagi proses pengundian di semua pusat pengundian di Parlimen Pulai manakala 678 petugas bertanggungjawab di kesemua pusat mengundi di DUN Simpang Jeram.