comscore
Tumpuan :
Nasional

20,000 Pengunjung Dijangka Meriahkan Karnival Merdeka Keluarga Malaysia@Padang Besar

KANGAR: Dianggarkan kira-kira 20,000 pengunjung akan hadir bagi memeriahkan Karnival Merdeka Keluarga Malaysia@Padang Besar di Kampus Uniciti Alam Sungai Chuchuh, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang dijadualkan berlangsung dua hari bermula petang esok (Jumaat).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata objektif penganjuran karnival yang julung kali diadakan itu adalah bagi memperkenalkan produk dan perkhidmatan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) kepada orang ramai.

“Antara pengisian program adalah untuk memberi pengetahuan dan pendedahan berkaitan ketersambungan digital, keselamatan siber, kawal kendiri dan banyak lagi yang bakal memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat dalam Keluarga Malaysia,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Besar berkata di samping itu juga, turut dianjurkan ialah beberapa program industri kreatif bagi meraikan kejayaan hasil usaha bersama rakyat dan kerajaan dalam memerangi wabak COVID-19.

“Kita sama-sama dalam Keluarga Malaysia telah berusaha membawa negara ini ke Fasa Endemik dan kini telah tibanya masa untuk kita terus bersama merancakkan kembali kegiatan ekonomi dan sosial di Padang Besar,” katanya.

Zahidi berkata karnival itu turut diwarnai dengan program kenduri rakyat dan semua Keluarga Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama dijemput hadir bagi mengeratkan hubungan antara pemimpin setempat dengan rakyat.

Beliau berkata Karnival Merdeka Keluarga Malaysia@ Padang Besar juga diadakan bagi menyemarakkan lagi semangat Sambutan Hari Kebangsaan 2022 dan Kempen Kibar Jalur Gemilang setelah dua tahun acara fizikal tidak diadakan akibat pandemik COVID-19 – BERNAMA

Loading...
Terkini