comscore
Tumpuan :
Nasional

20,000 CCTV diperlukan di ibu kota pantau aliran trafik, keselamatan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) melawat bilik kawalan ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya Bilangan 2 Tahun 2024 di Kuala Lumpur Command Control Centre hari ini. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 20,000 kamera litar tertutup (CCTV) perlu dipasang di sekitar ibu kota bagi memantau keselamatan dan aliran trafik di pusat bandar.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi JKMKKJR berkata buat masa ini terdapat 5,000 CCTV dipasang di sekitar ibu kota bagi tujuan pemantauan trafik dan keselamatan, namun jumlah itu perlu ditambah menjelang Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

Mesyuarat di Pusat Info Trafik dan Kawalan Lampu Isyarat (KLCCC) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut disertai Menteri Pengangkutan, Anthony Loke serta wakil agensi berkaitan termasuk DBKL serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata pada mesyuarat hari ini, JKMKKJR berpendapat pemasangan 20,000 CCTV ini mesti dilaksanakan dan disertai oleh semua agensi dan kementerian yang berkaitan.

“Kami berpendapat bahawa pemasangan CCTV ini mesti dilakukan tidak secara silo (bukan satu agensi).

“Ini penting pada hemat kami bahawa DBKL dengan kerjasama jabatan dan agensi ini memerlukan sekurang kurangnya 20,000 CCTV, ertinya dalam tempoh sekarang hingga RMK13, usaha ini mesti dilakukan,” katanya pada sidang media selepas selesai mesyuarat JKMKKJR di sini, hari ini.

Beliau berkata 5,000 CCTV yang sedia ada di pusat bandar berperanan memantau lalu lintas di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur, pemantauan bencana banjir dan tumpahan konkrit.

Kamera itu turut digunakan untuk pemantauan jenayah serta kawalan berkonsepkan bandar selamat oleh PDRM.

“Kita belajar daripada ‘smart city’ (bandar pintar) dan juga ‘safe city’ (bandar selamat) di negara lain, dengan adanya ‘high definition facial recognition’ CCTV (CCTV pengecam wajah berdifinisi tinggi), maka kadar jenayah dapat diturunkan.

“Kadar kemalangan jalan raya dapat juga di dikurangkan, juga pemantauan lain-lain aktiviti dapat dijalankan tanpa mengusik hak-hak peribadi seseorang,” katanya.

Katanya, perkara itu dicadangkan sebagai antara langkah kepolisian moden yang perlu dilakukan bagi mengurangkan keberadaan pegawai dan anggota beruniform di lapangan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini