Tumpuan :
Nasional

2,000 pelajar, 6,500 keluarga terima bantuan sempena Program Muhibbah MADANI 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan bakul Rahmah ketika hadir Program Muhibbah Madani 2025 di Bandar Perda. FOTO NSTP

BUKIT MERTAJAM: Seramai 2,000 pelajar daripada keluarga B40 dan anak yatim menerima kelengkapan sekolah sempena Program Muhibbah MADANI 2025 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, hari ini.

Selain itu, 6,500 keluarga bawah Parlimen Permatang Pauh turut menerima bantuan barangan dapur dan keperluan asas harian bernilai RM100.

Bantuan itu adalah sumbangan Koperasi Khazanah Usahawan Berhad (Ko-Khawan) menerusi Yayasan Muhibah Malaysia.

Bercakap pada majlis berkenaan di pekarangan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Anwar berkata, inisiatif yayasan terbabit wajar dipuji kerana menganjurkan program yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Terima kasih kepada Yayasan Muhibah dan Yayasan Global Mesra kerana mengambil inisiatif serta bekerjasama dengan Bank Rakyat dan MBSP, termasuk kerajaan negeri, untuk menyelaras serta memudahkan.

“Program ini bukan saja menyantuni rakyat, malah membabitkan banyak inisiatif daripada badan sukarela. Sebab itu saya pilih untuk hadir memberi dukungan kepada usaha yang baik ini,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Pengerusi Ko-Khawan, Datuk Eng Yee Koon.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini