
KAJANG: Kira-kira 2,000 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ditugaskan bagi membantu mangsa banjir di Sabah dan Sarawak.
Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, ia membabitkan keseluruhan anggota pasukan termasuk sukarelawan yang berada di dua negeri berkenaan.
“Buat masa ini, situasi banjir di dua negeri terbabit masih terkawal dan jumlah anggota yang berada di sana sudah memadai untuk mengawal situasi serta membantu mangsa.
“Setakat ini, tiada keperluan untuk kita tambah anggota namun jika terdapat keperluan itu, kita (APM) akan pertimbangkan semula untuk menghantar anggota dari Semenanjung,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Bulan Pertahanan Awam dan Perasmian Wacana Nasional: Struktur serta Hala Tuju Kesukarelawan Malaysia di sini, hari ini.
Majlis dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Khairus Masnan Abdul Khalid dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara, Datuk Khairul Shahril Idrus.
Media hari ini melaporkan, situasi banjir di Sabah semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan menunjukkan peningkatan mendadak manakala di Sarawak jumlah mangsa turut meningkat sedikit.
Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah meningkat kepada 4,122 orang di lima daerah pedalaman yang dilanda banjir, awal pagi tadi, berbanding 3,569 mangsa malam tadi.
Sementara itu di Sarawak, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 352 orang di empat PPS pagi tadi berbanding 347 orang malam tadi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.