Tumpuan :
Nasional

200 penduduk terputus hubungan, jambatan dilimpahi air sungai

Jambatan yang menjadi laluan masuk ke Kampung Batu 6, di sini, ditenggelami air Sungai Nenggiri akibat hujan lebat. Foto : NSTP

GUA MUSANG: Lebih 200 penduduk Kampung Batu 6 di sini, terputus hubungan apabila jambatan utama yang menjadi laluan masuk ke perkampungan itu dilimpahi air Sungai Nenggiri pagi tadi akibat hujan lebat.

Keadaan itu menyebabkan ramai sukar untuk menghantar anak-anak ke sekolah.

Menurut penduduk, minggu ini sahaja sudah empat kali jambatan berkenaan dinaiki air.

Ini termasuk dalam kejadian terbaharu pagi tadi apabila air mulai naik sejak jam 4 pagi.

Dan walaupun terdapat laluan lain, iaitu jambatan kereta api, ia sangat berisiko kerana jalan licin selepas hujan.

Jambatan kereta api yang menjadi laluan alternatif penduduk Kampung Batu 6 sekiranya jambatan utama dinaiki air Sungai Nenggiri. Foto : NSTP

Penduduk, Suzili Sulaiman, 47, berkata hujan lebat setiap hari pada waktu petang sehingga tengah malam menyebabkan jambatan itu ditenggalami air.

“Air akan melimpah sehingga merentasi jambatan, jadi kami tidak dapat menghantar anak ke sekolah dan perlu menunggu air surut untuk keluar termasuk ke tempat kerja.”

“Malah, untuk minggu ini sahaja sudah tiga kali kejadian ini berlaku dan hari ini adalah kali keempat. Walaupun ada jalan lain iaitu jambatan kereta api, namun ia sangat berisiko untuk membonceng anak ke sekolah,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu 6, di sini.

Seorang lagi penduduk, Rozi Ismail, 69, berkata lebih 200 penduduk di kawasan itu terpaksa berhadapan dengan masalah yang sama hampir setiap tahun.

“Pernah ada perancangan membina jambatan baharu, namun sehingga kini nampaknya masih belum ada apa-apa.”

“Saya harap pihak berwajib dapat mempercepatkan pembinaan jambatan yang dijanjikan bagi keselesaan penduduk di kawasan ini.”

“Sampai bila kami ingin berhadapan dengan masalah yang sama dan apabila menjelang musim hujan kami terpaksa menyediakan bekalan makanan kerana dibimbangi terputus hubungan untuk keluar membeli keperluan asas,” katanya.

Menurutnya, kerana masalah jambatan yang sering dinaiki air sungai itu juga telah mengganggu urusan pendidikan anak-anak di kawasan itu.

“Kebanyakan anak-anak bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Gua Musang yang terletak di bandar. Hari ini pun ramai yang tidak hadir ke sekolah kerana masalah jambatan yang tidak boleh dilalui,” katanya.

Loading...
Terkini