comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 200 pelancong terkandas ke Pulau Redang akibat muara cetek

Oleh Mohd Ishak Abdillah Ngah

SETIU: Kira-kira 200 pelancong terkandas ke Pulau Redang, gara-gara muara Sungai Merang sempit dan cetek.

Kejadian yang berlaku jam 9.00 pagi tadi turut menyebabkan bot yang membawa pelancong tidak boleh keluar.

Menurut penduduk pelbagai cara sudah dibuat mereka dan pemain industri pelancongan di daerah itu termasuk membuat aduan kepada pihak berwajib.

Namun kesalnya, isu itu dilihat tidak berkesudahan dan tiada solusi.

Kejadian turut menyebabkan 16 penyelam dari Kelab Skuba Media Prima terkandas.

Mereka yang menzahirkan rasa kecewa berkata telah melakukan beberapa kali percubaan bot merentasi muara cetek melepasi laut Cina Selatan namun tidak berjaya.

Pengusaha bot bagaimanapun, tidak mahu mengambil risiko berikutan bimbang enjin bot rosak tersangkut benting Pasir.

Bagi mengatasi isu itu, dua buah jengkaut membantu mengaut pasir bagi mendalamkan muara, namun kerja-kerja berkenaan mengambil masa yang lama untuk disiapkan.

Bagi seorang pelancong, Mohd Faisal Mohd Noor, 32 tahun, kejadian terkandas ke Pulau Redang telah dialaminya buat kali kedua.

“Kami sudah bayar pakej ke pulau, bila berlaku kejadian seperti ini sekaligus aktiviti yang dirancang turut terjejas”, ujarnya.

Seorang lagi pelancong dari Kuala Lipis, Aaron Amin Othman, 31 tahun, turut melahirkan rasa kecewa.

“Saya datang sejauh ini untuk ke Pulau Redang tetapi berdepan pula masalah ini. Saya berharap kerajaan negeri Terengganu dapat bertindak segera menyelesaikan masalah ini,” katanya lagi.

Menurutnya jika kejadian berlarutan ia akan menjejaskan sektor pelancongan di negeri berkenaan.

Sabtu lalu, kira-kira 300 penduduk bergotong-royong membina benteng muara Sungai Merang, selepas tidak tahan menanggung kerugian akibat bot sentiasa rosak tersangkut pada beting pasir muara cetek.

Bukan hanya bot membawa pelancong Pulau Redang, malah penduduk dan nelayan yang menggunakan muara itu juga berdepan kesukaran keluar dan masuk.

Situasi itu, membuatkan pengusaha bot, nelayan dan penduduk tertekan sekali gus mencari alternatif tanpa meminta bantuan agensi kerajaan atau wakil rakyat bagi membina benteng menggunakan kayu dan 4,000 guni pasir.

Pengusaha bot pelancong, Azhar Che Razak, 31, berkata dia bersama pengusaha bot yang lain, nelayan dan penduduk mengambil inisiatif membuat benteng menyekat satu laluan keluar masuk di muara sungai berkenaan.

Menurutnya, pihaknya menggunakan dana sumbangan pengusaha bot, penduduk dan nelayan sebanyak RM19,800 dengan menyewa sebuah jengkaut bagi mendalamkan muara.

Loading...
Terkini