
Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Seramai 200 pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dalam kawasan Parlimen Titiwangsa menerima sumbangan tunai RM1,000 sebagai suntikan untuk mereka meneruskan pengajian.
Sumbangan itu disampaikan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, dalam satu majlis di Dewan Yayasan Bena Nusa, Kuala Lumpur.
Beliau yang juga pengasas dan pengerusi yayasan itu berkata, program ini diadakan setiap tahun sebagai usaha membantu pelajar yang memerlukan.
“Dulu saya bagi komputer riba, tapi sekarang saya tak bagi kerana sebahagian daripada mereka sudah mempunyainya.
“Tinggal lagi dia orang nak naik taraf tak cukup duit, jadi saya bagi cek tunai RM1,000,” katanya kepada Buletin TV3.
Tambah Datuk Seri Johari, terdapat penerima yang memilih untuk tidak mengambil sumbangan itu kerana mereka sudah memiliki kelengkapan yang mencukupi, lalu menyerahkannya kepada rakan lain yang lebih memerlukan.
Program ini diadakan khusus untuk pelajar yang telah mendaftar masuk ke IPTA atau IPTS dan menetap di kawasan Parlimen Titiwangsa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.