Tumpuan :
Nasional

200 motosikal ditenggelami banjir dapat tukar minyak pelincir percuma

Antara 200 motosikal yang ditenggelami banjir di sekitar Kampung Kajang Sebidang diberikan perkhidmatan menukar minyak pelincir percuma pada program Rakyat Bantu Rakyat di Perkarangan Masjid Kajang Sebidang. – FOTO: NSTP

TUMPAT: Sebanyak 200 motosikal yang ditenggelami banjir di sekitar Kampung Kajang Sebidang di sini, diberikan perkhidmatan secara percuma untuk menukar minyak pelincir.

Menerusi program Rakyat Bantu Rakyat, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) diketuai Info Semasa Kubang Kerian (ISKK) tampil memberikan perkhidmatan itu untuk membantu mangsa banjir yang terkesan.

Wakil ISKK, Mohamad Afandi Mohamad berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk kampung itu yang juga kenalan meminta bantuan terbabit sebelum membuat permohonan 200 botol minyak pelincir.

“Daripada 200 botol minyak pelincir ini, 50 daripadanya kami peruntukan kepada warga Sekolah Menengah Ugama (Arab) Nurul Huda, di sini yang turut terkesan banjir.

“Ini adalah misi keempat kami hadir membantu dan tiga bantuan sebelum ini lebih kepada misi menyelamat dan mengagihkan sumbangan barang makanan kepada penduduk yang tidak berpindah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Seawal jam 10.30 pagi lagi penduduk mulai hadir di perkarangan Masjid As Syakirin bersama motosikal masing-masing yang sebahagian besarnya tidak dapat dihidupkan untuk menukar minyak pelincir.

Wakil penduduk, Mohd Fazlan Che Ibrahim, 36, berkata, seramai lapan pomen (mekanik) yang terdiri dari penduduk kampung turut terbabit dalam program amal itu.

“Semua pomen ini berkhidmat secara sukarela kerana mereka sendiri merasai kesusahan yang dialami penduduk kampung yang terkesan banjir.

“Banjir kali ini agak teruk dan tidak pernah dialami kami sehinggakan penduduk tidak sempat menyelamatkan barangan kerana tidak sangka air akan melimpah masuk,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Nur Ira Azira Mat Rahim, 34, meluahkan terima kasih atas bantuan menukar minyak pelincir percuma yang dianggap sangat membantu mangsa banjir.

Dia berkata, satu-satunya motosikal miliknya sudah beberapa hari tidak dapat dihidupkan kerana ditenggelami air walaupun sudah diletakkan di tempat tinggi.

“Saya dan keluarga pula berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan memang tidak sempat langsung mengalihkan motosikal.

“Nasib baik hari ini ada bantuan sebegini, sekurang-kurangnya meringankan beban penduduk untuk mengeluarkan sejumlah kos menukar minyak pelincir,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini