KUALA LUMPUR: Datuk Mohd Khairi Khairudin dilantik sebagai Ketua Polis Terengganu yang baharu menggantikan Datuk Mazli Mazlan.
Pertukaran itu adalah antara 20 arahan pertukaran yang diumumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.
Setiausaha PDRM, Deputi Komisioner Alzafny Ahmad berkata, arahan pertukaran itu turut membabitkan beberapa pegawai kanan lain yang akan berkuatkuasa mulai esok.
“Mohd Khairi sebelum ini menyandang jawatan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Mazli Mazlan pula ditukarkan bagi menyandang jawatan itu menggantikan Mohd Khairi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara pegawai kanan lain yang bertukar jabatan adalah Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, Datuk Abu Samah Mohd Nor ditukarkan ke jawatan Ketua Penolong Pengarah E1 Cawangan Khas Bukit Aman.
Ketua Penolong Pengarah (Pematuhan) Bahagian Pematuhan Standard, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Thaipul Bahri Mokhtar dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Integriti) JIPS Bukit Aman memangku pangkat Deputi Komisioner.
Ketua Polis Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaludin ditukarkan ke sebagai Komandan Maktab Teknik PDRM, Bakri, Muar dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan pula ditukarkan sebagai Ketua Penolong Pengarah (Persenjataan) Bahagian Teknikal/Operasi Bahagian Logistik dan Teknologi Bukit Aman dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.