KOTA BHARU: Kira-kira 20 pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di bandar ini menerima rawatan selepas disyaki terkena keracunan makanan.
Sumber berkata kejadian berlaku dipercayai selepas mereka menikmati nasi bungkus bersama kuah gulai dan ayam goreng.
Mangsa yang terlibat berusia di antara 13 hingga 17 tahun.
Kata sumber itu, anak saudaranya turut menjadi salah seorang mangsa keracunan makanan itu dan menerima rawatan di sebuah klinik.
“Pelajar sekolah ini menyertai kursus di sekolah dan mereka disediakan makanan bungkus. Selepas makan nasi bersama kuah gulai dan ayam goreng pada Sabtu lalu (kelmarin) mereka disyaki terkena keracunan makanan.”
“Anak saudara saya memaklumkan dia terkena keracunan makanan sejak semalam, namun masih terkawal, tetapi hari ini menjadi makin teruk dan terpaksa menerima rawatan sebagai pesakit luar di sebuah klinik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, dia berharap kesemua pelajar tidak terkena gejala yang teruk dan semoga mereka cepat sembuh.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap kes itu.
“Ya (kes keracunan makanan). Kes ini masih dalam siasatan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.