
TANAH MERAH: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 20 lembu diseludup dari Thailand membabitkan nilai keseluruhan RM160,000 di Kampung Lalang Pepuyu, di sini, petang semalam.
Rampasan dilakukan Batalion 8 jam 4.45 petang menerusi Op Taring Wawasan selepas menahan lori dipandu lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Ab Hamid berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 20 lembu dianggar seberat lebih 10,000 kilogram (kg) dipercayai diseludup dari Thailand.
“Pemandu seorang lelaki berusia 31 tahun dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup lembu itu ke pasaran tempatan.
“Anggaran nilai rampasan keseluruhan RM160,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
“Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Veterinar Kelantan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam operasi berasingan di sebuah rumah Pulau Belanga, Kota Bharu, Nik Ros Azhan berkata, pihaknya menahan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) jam 6.30 petang semalam.
Katanya, tangkapan membabitkan tiga lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki Myanmar.
“Semua suspek gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri atau dokumen perjalanan masuk ke Malaysia yang sah. Mereka ditahan di bawah Sek 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.