Tumpuan :
Nasional

2 warganegara Thailand ditahan guna pas lawatan bekerja di Kelantan

Anggota APMM menahan warga asing dalam Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen bersama AADK di lima lokasi jeti pelabuhan bot laut di Tok Bali di sini, hari ini.- Foto NSTP

PASIR PUTEH: Padah menggunakan pasport lawatan sebagai cara masuk ke negeri ini untuk bekerja, dua rakan warganegara Thailand dari wilayah Pattani ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kelantan.

Mereka antara 37 warga asing yang ditahan jabatan itu dalam operasi bersepadu bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), hari ini di lima lokasi di daerah ini.

Pengarah Imigresen Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan, berkata dua warga Tahiland itu ditahan atas kesalahan salah guna pas lawatan sosial untuk bekerja di atas bot menangkap ikan iaitu kesalahan di bawah Peraturan 39(b)- Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Mereka datang ke sini menggunakan pasport lawatan menerusi Pengkalan Kubor namun salahguna pas lawatan dengan bekerja di jeti pelabuhan.

“Mereka ditangkap ketika sedang membaiki enjin kapal dan hasil makluman awal memaklumkan baru sampai semalam di pelabuhan ini,” katanya ketika ditemui di pelabuhan bot laut dalam di Tok Bali, di sini, hari ini.

Mohd Yusof Khan memaklumkan turut ditahan 15 warganegara Myanmar iaitu 13 lelaki dan dua wanita; Vietnam (11 lelaki); Thailand (tujuh lelaki); Loas dan Kemboja masing-masing dua lelaki.

Beliau berkata, dalam operasi itu, sebanyak lima lokasi diserbu dengan pemeriksaan membabitkan 262 warga asing yang kebanyakannya nelayan.

Antara lokasi yang diperiksa adalah jeti Tok Bali di Kampung Pak Mayong; Jeti Taman Sara, Kampung Gong Kulim; Jeti Lot 1224, Kampung Pak Mayong; Jeti Mega Prestasi, Kampung Pak Mayong dan Jeti Proses Hasil Laut, Kampung Pak Mayong.

“Kesemua yang ditahan berusia antara 21 hingga 52 tahun termasuk dua wanita yang melakukan kesalahan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah di bawah Seksyen 6(1)(c) dan tinggal lebih masa kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c)“, katanya.

Kesemua warga asing dibawa balik ke Jabatan Imigresen Kota Bharu untuk siasatan lanjut.

“Operasi dilaksanakan secara serentak ke lima lokasi bagi mengelakkan warga asing menghidu gerakan kita dan Maritim Malaysia turut membuat kepungan di sungai sekitar jeti bagi mengelakkan mereka terjun ke dalam sungai,” katanya.

Bagi saringan ujian air kencing pula, AADK berjaya mengesan enam warganegara Vietnam dan dua warganegara Thailand positif dadah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini