Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Dua warga Malaysia yang didapati bersalah menyeludup emas ke Bangladesh telah dibebaskan hari ini lanjutan daripada penghakiman oleh Mahkamah Bangladesh selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Perkara itu disahkan Wisma Putra dalam kenyataan lewat petang ini dan memaklumkan mereka dijangka pulang ke tanah air dalam masa terdekat.
“Kementerian Luar melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka telah menghulurkan bantuan konsular kepada kedua-kedua orang warganegara tersebut sepanjang tempoh penahanan.
“Suruhanjaya Tinggi Malaysia akan terus membantu rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular sewajarnya,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, Wisma Putra berkata, penyeludupan emas adalah jenayah yang berat di Bangladesh dan boleh membawa hukuman mati.
“Dalam hal ini, kementerian menggesa semua warga Malaysia agar sentiasa menghormati undang-undang serta peraturan tempatan dan mengelakkan daripada terlibat dalam aktiviti haram semasa melakukan perjalanan ke luar negara,” menurut kenyataan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.